Malam semakin merangkak tua. Bintang- bintang bertaburan menghiasi malam yang sepi. Embun- embun pagi mula menitis menyirami malam yang begitu kelam. Sekelam hatiku di kala ini. Aku memandang sekeliling, kelihatan permata hatiku sedang lena diulit mimpi dalam buaian. Entah mengapa, begitu sukar untukku melelapkan mata walau untuk sesaat cuma. Bertemankan lampu neon yang malap, dan dendangan lagu nasyid dari radio IKIM.fm oleh kumpulan Hijjaz bertajuk Kau Sahabat Kau Teman telah mengingatkan diriku tentang satu kisah yang menyayatkan hati. Otak enigmaku menerawang jauh melewati daerah- daerah luka yang pernah aku lalui suatu ketika dulu. Aku merupakan anak tunggal kepada sepasang suami isteri yang hidup bahagia dan gembira. Oleh kerana aku satu-satunya anak mereka diriku telah dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Sungguh bertuah hidupku kerana segala kemahuanku akan dipenuhi dan diriku bebas sebebasnya umpama bebasnya burung-burung yang terbang di awangan. Mama dan papa menjagaku dengan memberi didikan agama yang sempurna serta asuhan yang baik. Namun hati remaja, inginkan kebebasan dan hidupku terlalu sosial hingga tidak mengendahkan segala nasihat mama dan papa. Nasihat mereka hanya umpama mencurah air ke daun keladi.
Aku suka memakai pakaian yang ketat, tidak menutup aurat dengan membiarkan terdedah sana dan sini. Bagiku itu adalah kebanggaanku dengan mendedahkan kecantikkanku untuk di lihat oleh sesiapa pun. Padahal aku tahu itu satu dosa besar jika tidak menutup aurat kerana aku merupakan salah seorang pelajar di sekolah agama. Selain itu, aku berfoya-foya dengan member-memberku yang suka melepak di pusat membeli belah. Setiap hari yang aku lalui hanya membuang masa dengan member-memberku. Pernah sekali papa marah kepadaku kerana perangaiku yang semakin menjadi-jadi, kerana pada hari itu aku menengking mama kerana tidak memberikan duit poket untukkku. Segala kemarahan papa itu aku tidak endahkan kerana aku tahu kemarahan papa sementara sahaja kerana mama dan papa terlalu menyayangiku.
Setahun selepas itu, aku mendapat tawaran ke melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kecemerlanganku dalam SPM iaitu di Universiti Teknologi MARA. Betapa gembiranya hati ini dapat menjejakkan kaki ke menara gading. Kegembiraan ini ku kongsi bersama dengan mama dan papa. Di universiti aku tinggal dengan seorang teman yang bernama Nur Solehah. Dia memang terlalu baik dan warak. Perkenalan yang singkat dengannya telah membuahkan bibit-bibit ikatan persahabatan. Kerana dia jugalah aku telah berubah. Kini aku tidak lagi memakai pakaian yang mendedahkan aurat dan aku menjaga segala peribadiku. Dia banyak menasihati dalam soal agama. Aku bahagia menjadikannya sebagai teman istimewa dalam hatiku. Dia merupakan orang ketiga yang aku sayangi selepas papa dan mama. Mama dan papa pun gembira dengan perubahanku. Terima kasih sahabat, keranamu ku kenal jalan yang benar. Persahabatan kami umpama sepasang kekasih. Dimana aku berada mesti Solehah disisiku. Hinggakan ada yang dengki dengan hubungan akrab kami. Hubungan kami bertambah akrab kerana 2 tahun kami tinggal bersama. Suka dan duka telah kami kongsi bersama. Seperti kata perumpamaan “ Berat sama dipikul dan ingan sama dijinjing”.
Pada suatu hari, ketika pulang dari perpustakaan aku terlanggar seorang lelaki dan barang yang ku bawa bertaburan jatuh. Aku mengutip balik barangku dan meminta maaf. Aku memandang sekilas lelaki itu dan terus berlalu. Tanpa aku sedari dompetku yang terjatuh telah tertinggal. Senyuman lelaki itu telah menarik minatku. Senyumannya membuat hatiku menjadi tenang dan berdebar-debar. Adakah ini cinta pandang pertama? Seharian aku mencari dompetku yang hilang. Akhirnya, aku menerima satu panggilan dari orang yang tidak dikenali yang ingin berjumpa untuk memulangkan barangku. Aku tidak menyangka yang dompet aku telah di kutip oleh lelaki itu semasa aku tertinggal. Sejak hati itu aku dapat mengenali lelaki itu dengan lebih rapat. Namanya Hafiz dan juga merupakan salah seorang senior aku. Aku senang dengan sikapnya yang pandai mengambil hati dan tutur katanya yang penuh budi bahasa. Dalam diam aku mula menyukainya. Kata orang dari mata turun ke hati. Tapi aku tidak memberitahu kepada sesiapa perasaanku ini. Biarlah hanya diriku dan Allah yang mengetahuinya.
Cuma kepada Solehah, aku ceritakan yang aku meminati seorang lelaki yang memenuhi ciri-ciri lelaki idamanku tapi aku merahsiakan empunya diri. Hidup aku bertambah ceria dengan angan-angan yang ku cipta sendiri. Hanya hatiku yang tahu perasaan hati ini. Bila ditanya oleh Solehah aku akan mengelak untuk memberitahunya. Kataku suatu hari nanti akan ku kenalkan kepadanya. Hubungan aku dan Hafiz makin akrab dan satu hari aku dengan beraninya meluahkan perasaan yang aku meminati dirinya. Tidak sanggup lagi ku tahan perasaan ini. Walaupun malu namun aku beranikan diri. Dia hanya diam dan terkejut dengan luahan isi hatiku. Dia tidak menjangka yang aku mencintainya. Keesokkan hari, Hafiz memberi jawapan yang mengecewakan hatiku, dia menolak cintaku. Katanya hatinya sudah di isi dan dia menganggapku hanya sekadar teman biasa. Aduh sungguh pilu hati ini bila cinta ditolak. Hatiku hancur umpama kaca yang dihempas ke batu. Kepada sahabatku, Solehah ku luahkan rasa sedih ini dan kuceritakan segala-galanya. Dia menenangkanku mungkin bukan jodohku. Jadi perkara itu aku cuba untukku untukku walaupun terlalu perit untukku hadapi. Mungkin aku dan Hafiz tidak ditakdirkan untuk bersama.
Namun pada suatu hari, aku terjumpa sekeping surat di dalam bilik dan tanpa disengajakan aku terbaca surat itu........
♥ BeRSaMBuNg >>>>
No comments:
Post a Comment